Bas Buatan Malaysia: Ke Luar Negara Lebih Dulu, Ke Mana Arah Polisi Mobiliti Negara?

Tarikh artikel: 10 Mei 2025
Penulis: Ammad Mahdi

Pada 22 Februari 2025, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz memuat naik satu hantaran video di TikTok rasmi beliau yang menarik perhatian saya sebagai rakyat Malaysia yang amat prihatin terhadap isu mobiliti dan pengangkutan awam di negara ini.

Dalam video tersebut, beliau memaparkan lawatan ke sebuah kilang pengeluar bas tempatan yang bernama Sun Bus Tech, sebuah syarikat Malaysia yang berpangkalan di Senai, Johor. Syarikat ini menghasilkan pelbagai jenis bas termasuk bas diesel dan juga bas elektrik (EV), hasil kerjasama dengan syarikat teknologi dari China, BYD.

Memandangkan Sun Bus Tech merupakan sebuah syarikat sendirian berhad dan bukan syarikat tersenarai di pasaran saham, maklumat mengenai syarikat ini agak terhad dan kebanyakannya hanya berdasarkan kenyataan yang telah dikongsikan oleh Tengku Zafrul.

Apa yang membanggakan, pada tahun 2024, hampir kesemua bas yang dikeluarkan oleh Sun Bus Tech telah dijual ke luar negara. Land Transport Authority (LTA) Singapura merupakan antara pelanggan syarikat ini. Untuk tahun 2025, menurut Tengku Zafrul, syarikat ini akan meningkatkan jualan domestik kepada 49%, termasuk membekalkan bas kepada syarikat pengangkutan awam negara, Prasarana Malaysia Berhad.

Sebagai rakyat, saya amat gembira dan bangga apabila industri tempatan berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Namun begitu, perkembangan ini juga menimbulkan beberapa persoalan penting yang memerlukan jawapan serius daripada pihak kerajaan dan pembuat dasar.

Persoalan 1: Adakah Bas Akan Sampai Ke Semua Kawasan?

Apakah strategi sebenar kerajaan untuk memastikan bahawa penambahan bilangan bas ini akan memperluas liputan perkhidmatan di kawasan bandar dan pinggir bandar, khususnya di Lembah Klang?

Adakah bas-bas baharu ini akan digunakan hanya untuk menambah kapasiti di laluan sedia ada atau adakah ia akan meluaskan jaringan laluan bas agar sekurang-kurangnya 80% kawasan Lembah Klang mempunyai akses terus kepada perkhidmatan bas awam?

Hal ini penting kerana kita sering mendengar aduan bahawa jarak antara rumah ke stesen bas atau MRT terlalu jauh, dan tiada bas perantara yang efisien. Tanpa rangkaian yang menyeluruh, bas baharu sekalipun tidak akan menyelesaikan masalah struktur dalam sistem pengangkutan kita.


Persoalan 2: Kenapa Fokus Terlalu Kuat Pada Kereta EV?

Sun Bus Tech terbukti mampu menghasilkan bas elektrik tempatan. Maka timbul persoalan: jika kita sudah ada teknologi EV dalam bentuk pengangkutan awam, mengapa kerajaan lebih menumpukan promosi terhadap kereta EV?

Apakah logiknya mendidik rakyat untuk terus membeli kereta secara hutang, dalam suasana ekonomi yang mencabar dan dengan kadar hutang isi rumah Malaysia yang tinggi sedangkan pelaburan ke atas pengangkutan awam mampu memberikan manfaat ekonomi dan sosial yang jauh lebih besar kepada rakyat secara keseluruhan?

Rakyat sepatutnya dididik untuk mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian dan beralih kepada sistem pengangkutan awam yang mesra alam dan efisien. Ironinya, Singapura menikmati manfaat daripada bas elektrik buatan Malaysia, sedangkan rakyat kita masih menunggu bas yang jarang lalu.

Realiti Cita-Cita 60:40

Pada zaman pentadbiran Azmin Ali di Kerajaan Negeri Selangor, saya masih ingat dasar yang menyasarkan nisbah 60:40 pengguna pengangkutan awam berbanding kenderaan persendirian menjelang tahun 2030. Ini telah diwar-warkan sejak tahun 2015.

Namun begitu, berdasarkan data Open DOSM daripada Banci 2020, Selangor mempunyai 6.9 juta penduduk, dan dengan kadar pertambahan populasi 1% setahun, jumlah itu dianggarkan mencecah 7.4 juta pada tahun 2025. Digabungkan dengan penduduk Kuala Lumpur dan Putrajaya (sekitar 2.2 juta), jumlah keseluruhan adalah hampir 9.6 juta orang.

Jika kita berpegang pada sasaran 60%, maka kita sepatutnya melihat sekitar 5.8 juta orang menggunakan pengangkutan awam setiap hari. Namun, menurut data terkini dari portal DataGov, jumlah penumpang harian pengangkutan awam hanya sekitar 1 juta orang sahaja. Ini bersamaan 17% sahaja daripada sasaran, jauh dari realiti yang diimpikan.

Harapan untuk Polisi yang Lebih Berpihak kepada Rakyat

Saya berharap usaha Tengku Zafrul mempromosikan kejayaan syarikat tempatan bukan sekadar pencapaian eksport semata-mata. Ia perlu disertai dengan pelan tindakan yang jelas untuk membina sistem pengangkutan awam yang mesra rakyat, mampan dan menyeluruh.

Bas bukan sekadar kenderaan, ia adalah simbol keadilan sosial dan akses mobiliti. Jika rakyat tidak mampu memiliki kereta, maka bas mestilah menjadi penyelamat mereka. Kita tidak mahu melihat bas kita berlegar di luar negara sementara rakyat sendiri berjalan kaki di bawah panas terik dan hujan lebat kerana tiada akses kepada pengangkutan awam yang wajar.


Comments

Leave a comment