Tag: public transport

  • Di Mana 60% Itu? Keadilan Mobiliti dan Walkability di Lembah Klang

    Tarikh artikel: Mei 2025
    Penulis: Ammad Mahdi

    Solat Jumaat merupakan satu kewajipan yang dituntut ke atas setiap lelaki Muslim. Malah, beberapa negeri di Malaysia, termasuk Selangor, telah menguatkuasakan undang-undang di bawah Enakmen Syariah yang memperuntukkan tindakan terhadap individu yang dengan sengaja meninggalkan kewajipan ini. Oleh itu, kewajipan untuk mendirikan solat Jumaat bukan sahaja dituntut dari sudut agama, malah turut ditekankan dalam aspek pentadbiran negeri Selangor. Namun begitu, suasana pelaksanaannya masih mempunyai ruang untuk penambahbaikan. Justeru, saya terpanggil untuk membincangkan isu ini dari sudut mobiliti dan aksesibiliti.

    Berdasarkan pemerhatian saya, sejurus selepas imam memberi salam, para jemaah dilihat berpusu-pusu meninggalkan Masjid Saujana Impian, Kajang, menuju ke destinasi masing-masing. Dalam kalangan mereka, pelajar sekolah, baik sekolah rendah mahupun menengah serta pekerja asing merupakan kumpulan yang paling ramai berjalan kaki. Mereka tidak memiliki kenderaan bermotor, namun tiada laluan pejalan kaki atau laluan basikal yang khusus disediakan untuk mereka.

    Sedangkan, jika kemudahan berbasikal disediakan, mereka mungkin hanya memerlukan kurang lima minit untuk tiba di sekolah atau tapak pembinaan tempat mereka bekerja. Situasi ini diburukkan lagi dengan kehadiran jalan besar tiga lorong di hadapan masjid, yang sering menjadi laluan kenderaan dari LEKAS (Lebuhraya Kajang–Seremban). Sikap pemanduan yang laju, seolah-olah masih berada di lebuh raya, membahayakan keselamatan penduduk yang melintas di kawasan perumahan ini.

    Mereka yang berjalan kaki terpaksa meredah laluan tidak rata, ada masanya di atas tanah, rumput, dan ada kalanya di atas jalan bertar yang sempit. Kemudahan untuk golongan orang kurang upaya (OKU) pula hampir tidak wujud. Keadaan menjadi lebih mencabar apabila cuaca panas terik mencecah 35 darjah Celsius, atau sewaktu hujan lebat yang disertai guruh dan kilat, terutamanya pada musim tengkujuh.

    Saya amat yakin bahawa situasi yang saya gambarkan sebentar tadi bukanlah sesuatu yang terpencil, malah merupakan satu bentuk ‘epidemik senyap’ yang dihadapi oleh ramai umat Islam di Malaysia, terutamanya di kawasan bandar yang berpenduduk padat.

    Tujuan saya bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak berkuasa, kerana apa yang lebih penting adalah usaha kolektif untuk mencari penyelesaian demi menjamin keselamatan para jemaah, khususnya mereka yang berjalan kaki. Antara harapan saya ialah pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung yang menghubungkan masjid ke lokasi penting berdekatan seperti pasar raya Lotus’s, stesen MRT Sungai Jernih, dan Sekolah Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS).

    Kerajaan seharusnya memberi fokus kepada strategi mobiliti yang inklusif dan mampan, melalui pembangunan rangkaian laluan pejalan kaki dan basikal yang menyeluruh, yang meliputi sekurang-kurangnya 80% kawasan perumahan dan dihubungkan secara efektif ke pusat bandar, pekan, serta kemudahan pengangkutan awam seperti KTM, MRT dan LRT. Namun, sehingga kini, masih belum kedengaran sebarang pelan konkrit daripada pihak berwajib sama ada di peringkat kerajaan tempatan, negeri, mahupun persekutuan.

    Di bawah pentadbiran YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di Kerajaan Negeri Selangor suatu ketika dahulu, saya sering membaca di portal SelangorKini mengenai sasaran untuk menetapkan nisbah penggunaan pengangkutan awam kepada kenderaan persendirian pada kadar 60:40. Sasaran ini telah diketengahkan seawal tahun 2015, iaitu hampir sedekad yang lalu, dan dirancang untuk dicapai menjelang tahun 2030. Kini, kita hanya berbaki lebih kurang empat tahun lagi. Persoalannya, adakah sasaran ini masih realistik dalam jangka masa yang begitu singkat?

    Merujuk kepada data bancian 2020 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (Open DOSM), populasi Negeri Selangor adalah seramai 6.9 juta orang. Dengan kadar pertumbuhan tahunan sekitar 1%, jumlah ini dijangka meningkat kepada sekitar 7.4 juta orang menjelang tahun 2025. Jika digabungkan dengan anggaran penduduk Kuala Lumpur dan Putrajaya, iaitu sekitar 2.2 juta orang, jumlah keseluruhan populasi kawasan Lembah Klang ini mencecah lebih kurang 9.6 juta orang. Maka, berdasarkan sasaran nisbah 60:40, kita menjangkakan seramai 5.8 juta orang perlu menggunakan pengangkutan awam secara aktif.

    Namun begitu, data jumlah penumpang harian pengangkutan awam yang tersedia di Data.gov.my menunjukkan anggaran sekitar 1 juta penumpang sahaja setiap hari, ini bersamaan dengan hanya 17% daripada sasaran 5.8 juta pengguna. Jelas bahawa jurang antara sasaran dan realiti masih sangat besar,n jauh panggang dari api.

    Ini membangkitkan persoalan penting: Apakah pelan tindakan strategik jangka pendek dan jangka panjang yang sedang dirancang untuk merapatkan jurang ini? Dan yang lebih penting, adakah rakyat benar-benar diyakinkan bahawa pengangkutan awam itu satu pilihan yang selamat, selesa, dan praktikal untuk kehidupan harian mereka?